02/06/2013

MR ICEMAN





1)

Aku ingat lagi sangat pertama kali terpandang kelibatnya. Wajahnya yang sedikit kemelayuan membuat kumenyangka dia seorang lelaki Melayu. Tubuhnya sederhana tinggi, berbingkai cermin mata penuh hitam dan berjalan penuh gaya cool membuat aku terpesona. Ada sesuatu yang ada pada dirinya membuat aku ingin memandang dan bercakap dengannya.

“Dia tu Cina la Eva!”, kata kawan baikku, Fairuz. Kalau dengar nama Fairuz mesti ingat lelaki kan? Sebenarnya dia perempuan...Siti Fairuz.
“Ya ke? Aku ingat Melayu kot. Tapikan, dia hensem gila. Serious!”, kataku bersungguh-sungguh sambil memandangnya yang berada di baris hadapan di dalam dewan kuliah.
“Kau tahu tak nama dia?”, mataku semakin bercahaya. Dapat merasakan ada peluang untuk aku berkawan dengannya yang paling penting, bercakap dengan dia.
“Tak but not worry sebab aku tahu dia kelas mana.”, kata Fairuz lagi seperti menyuntik semangat padaku agar tidak putus asa. Betul tu, aku tak akan putus asa. Chaiyok!

2)

Belajar di Matrikulasi sememangnya memenatkan. Kelas dari pukul 8 pagi hingga 1 petang kemudian rehat sejam kemudian sambung kelas dari pukul 2 petang hingga 4 petang. Kadang-kala aku terfikir juga kenapa aku belajar Fizik dan Kimia lagi selepas zaman persekolahan di MRSM Kuala Berang. Berjumpa balik dengan ‘musuh’ lama menyebabkan sakit stressku kembali menyerang. Arghh!

Aku terbaring sambil mata memandang tepat pada syiling yang bercat putih bersih sambil tiupan angin kipas terasa sipi-sipi saja. Titisan peluh dapat dirasakan mengalir dari pinggir rambut ke leher jinjangku. Cuaca sangat panas pada hari ini sehingga setin air Coke tidak dapat menyejukkan tekakku. Tiba-tiba wajah si dia menerpa fikiran. Aku tersenyum sendirian, lupa segala kepenatan yang kukeluh tadi. ‘Apa kata kalau aku cari dia dalam *fb? Mesti dia ada fb kan? Belum cuba belum tahu.’, bisikku sendirian. Ternyata bisikan nakal tu menyebabkan aku secara automatik mencapai laptop Acer Aspire 4736Z kemudian melayari internet.
Satu senyuman lagi muncul di bibirku namun senyuman itu tidak sama dengan senyuman tadi kerana ia lebih manis dan tersirat seribu makna. 

“Dah jumpa!”, kataku kuat sehingga roomateku, Jaja yang asyik membalas mesej menggunakan Nokia Express 5130 XpressMusic sedikit terkulat-kulat begitu juga reaksi yang dilemparkan oleh Aiza atau lebih dikenali sebagai Za yang sedang menukar baju kurungnya kepada baju baby t-shirt pink dan berkain batik Jawa.
“Jumpa apa?”, tanya Jaja yang lebih bersikap ingin tahu berbanding Aiza yang buat tidak peduli aksiku yang dah terlompat-lompat seperti ‘seseorang’ dalam Zoo Negara.
“Iceman. Aku dah jumpa Iceman dalam fb!”, kataku dengan tidak sabar-sabar. Iceman adalah gelaran kami kepada Jason Chew. Takut tercakap kuat nanti kantoi pula. Jantungku semakin kuat berdegup dan mengepamkan darah ke seluruh organ. Kata *Oh Ha Ni, kalau kita jumpa sesuatu yang kita suka, kita dapat rasa jantung kita berkencang hebat. Betul ke?
“Mesti cina ke Eva? Kristian tu.”, Za tiba-tiba menyampuk sambil memandangku dengan pandangan serius. Aku tahu dia bimbang sebab lelaki tu bukannya seorang lelaki Islam. Tak pasal-pasal aku terlibat dengan kes menukar agama kerana ikut kekasih.
“Za, aku cuma nak kawan je dengan dia. That’s all. Lagipun dia lelaki hot and dia still single.”

Suasana bilik mula bertukar sepi cuma aroma Nasi Goreng Kerabu yang di beli oleh Za menerjah ke rongga hidung. Jaja juga turut diam sambil memandang wall fb ku yang sarat dengan new status dan gambar yang baru diupload oleh kawan virtualku.

“Tapi, aku ingatkan kau sebelum everything getting so serious ok?”, nasihat Za lagi sebelum menyuap sesudu Nasi Goreng Kerabu kegemarannya ke dalam mulut.
Aku bingkas bangun dan merapati tubuhku kepada tubuh genit Aiza.
“Don’t worry ok?”, kataku ringkas kemudian menepuk bahunya sambil tersenyum.
“Macam ada makna je. Aku tahu la kau nak nasi goreng ni.”, Za mengerling kemudian satu sudu nasi disuakan kepadaku.
“Hahaha...macam kau tak tahu je perangai roomate kesayangan kau ni.”

Kemudian gelak tawa kami berdua menghiasi bilik tatkala Jaja turut meminta untuk disuapkan Nasi Goreng Kerabu. ‘Kesian Za!Sekali-sekala tak apa’, getus hatiku.

3)

Tiga minggu tidak melayari internet membuat hati ini di buru resah.Namun semuanya dapat diubati dengan melihat muka Jason yang hensem lagi cool lagi entah apa-apa yang patut setiap hari dalam dewan kuliah..Aku sememangnya di lamun cinta!

“Kritikal tahap dewa ni!”, tegur Fairuz perlahan yang memang sedari dari saat Encik Fahim menerangkan *Trapezoidal rule ke *Newton Raphson method mataku masih terpaku memandang si Jason.
“Apa?”, tanyaku buat-buat tak faham apa yang dimaksudkan.
“Fokus babe. Jangan asyik pandang mamat tu.”, kata Fairuz lagi dengan nada yang sama.

Jam mula menunjukkan pukul 4 petang. Aku sudah mengemas segala buku dan dimasukkan ke dalam beg sandang yang berada di atas kerusi. Dewan kuliah yang sarat dengan orang mulai lengang. Mataku seperti biasa memandang target ku yang juga mulai beredar. Sekeping DoubleMint Gum yang berada di dalam beg di buka pembalutnya dan dimasukkan ke dalam mulut. Perlahan-lahan aku mengunyah dan mengeluh. ‘Takkan aku kena tegur dia dulu kot’, bisik hati kecilku.

Terasa berat saja kaki ini menapak menuruni tangga sisi dewan. Hilang keyakinan diri tatkala memikirkan sangat mustahil buatku menegurnya tanpa sebab. Kelibatnya juga turut tiada dan tatkala aku mengangkat muka setelah melepasi pintu utama dewan kuliah, mataku mula terhenti pada sesuatu. Masa seakan berdetik terlalu perlahan dari biasa manakala jantungku turut berdegup mengikut irama indah dan romantis yang tidak pernah aku alami selama ini. Begitu juga sepasang mata redup di sebalik cermin mata yang turut memberi reaksi sama sepertiku. Jason turut terpaku memandangku! Semuanya kembali seperti normal apabila aku mengalihkan pandangan ke arah lain. Aku meletakkan tangan kanan ke atas dada di sebelah kiri. Aku...betul...suka...pada...Jason Chew.

4)

Malam hujung minggu bagaikan pesta buat pelajar Matrikulasi. Mungkin perkataan ‘pesta’ agak melampau untuk digunakan namun bagiku, malam tersebut tak ubah seperti pesta kerana masing-masing melayan kegilaan terhadap games, mendengar rentak lagu alternative rock seperti band Muse atau My Chemical Romance sehingga bingit telinga bagi orang yang tidak biasa mendengarnya atau menonton filem Hantu Kak Limah Balik Kampung dan juga filem seram Wrong Turn yang diarahkan Rob Schmidt diikuti Wrong Turn 2, 3 sehingga entah ke berapa siri seram lagi. 

Kalau ada 10 siri, mahunya mereka habiskan sampai ke pagi esok. Aku? mestilah dengan Super Series Volume 1 *Sudoku terbitan M&M Books Publisher. Tak faham betul aku dengan Za dan Jaja yang beriya-iya mengajakku menonton cerita seram tersebut. Tak ada faedah langsung melayan cerita macam tu. Kejap-kejap menjerit nasib baik jantung tak gugur. Dah ramai-ramai orang dalam bilik aku sebab seronok dapat tengok filem tak kena bayar anjuran Jaja & Za Company Sdn Bhd, aku mengambil keputusan untuk duduk di atas tangga untuk menikmati permainan Sudoku. Terpaksa la sebab aku pun nak rasa enjoy juga bila main Sudoku. Takkan mereka je kot.

Angin malam sememangnya mendamaikan. Sesekali bunyi cengkerik dan tapak kaki beralaskan selipar jepun dapat di tangkap oleh telinga. Aku masih fokus mengisi nombor satu hingga sembilan dalam ruangan kosong di dalam buku Sudoku tersebut. Hampir setengah jam berjaya menyelesaikan Sudoku tahap Gentle, aku mula melangkah masuk ke dalam bilik. Tiba-tiba aku teringat sesuatu dan segera melayari internet dengan laptop Acerku.
Mataku segera membulat.

“You ni budak kuliah f3 ke?”

Sebaris ayat itu kutaip ke dalam ruangan fb chat setelah aku melihat Jason turut online dalam senarai chat tersebut. Berdebar ak menunggu si dia membalas. Takut pun ada kalau dia tidak melayan seseorang yang tidak dikenali. Aku mengeluh sendirian. Kalau itu terjadi, alamatnya memang kosong harapan untuk bercakap dengannya. Aish!

“Yup. You pun budak kuliah f3 jugak ke?”

Selang beberapa minit, aku yang tengah minum air susu Everyday suam hampir tersedak apabila Jason betul-betul membalas chatku. For real!

“A’ah. Owh...patutlah macam kenal je profile pic tu. Cuma speknya tak ada.”

“Hahaha.(=.=)”

Nak cakap apa lagi ek? A’ah...nama.

“Nak panggil apa ni? Jason?”

“Panggil saja aq Jason.u?”

Yeye! Dia tanya aku nak panggil nama apa. Emm...of course la Eva. Ke nak bagi nama yang lebih sweet seperti cayang?Hehe...gatal betul aku ni.

“Just call me Eva :p”

“Owh ok (>.<)”

Emm...asyik aku je tanya dia. Nak cakap apa lagi ni? A’ah, aku patut tanya soalan ni pada dia.

“Jason ada cam saya ke?”

“Sorry...not really.”

Aduh, sedikit kecewa mendengar jawapan Jason. Yalah, dia kan ramai peminat. Kalau aku yang Melayu ni pun dah suka dia, apatah lagi amoi yang belajar dekat Matrikulasi ni. Mana dia nak pandang sangat aku ni.

“It’s ok. Jason, i want to be friends and want to know you.”

“Ok. Kita boleh kawan(=.=)Hahaha”

Aku tersenyum sendirian. Jeritan Jaja kali ini seakan kebal dan aku tidak terkejut langsung seperti mula-mula mereka melihat cerita seram. Aku tenggelam di dalam dunia sendiri, yang ada cuma aku dan Jason yang berbicara.

“But I mean not only virtual friends but also in real life.”

“Ok je. Kalau jumpa aq, tegur je. Tak apa la.”

“Really? Tapi malulah nak tegur Jason macam tu. Kita bukannya pernah bercakap pun.”

Aku berkata terus-terang. Memang betul, aku tak berani lebih-lebih lagi aku di lamun rasa bersalah menyukai seseorang yang tidak patut aku suka. Dia lelaki Cina dan beragama Kristian manakala aku gadis Melayu dan menganuti Islam. Lain budaya dan juga agama. Ya Allah, apa jenis cabaran cinta yang kau dugakan padaku ini?

Kemudian perbualan chat terhenti apabila dia berhenti membalas chat aku. Aku berfikiran positif. ‘Dia sibuk kot?’, getus hatiku.

 5)

Hari ini tanggal 2 haribulan Februari 2010, aku menerima perkhabaran kurang enak dari Fairuz. Perkhabaran yang menyebabkan air mata mula menitis namun semakin di tahan-tahan ia makin laju tanpa di pinta. Aku mengeluh kuat kemudian menghempaskan kepala ke atas bantal bercorak geometri biru. Kalau Za tahu aku jadi begini disebabkan dia, lagi teruk aku kena ceramah dengan dia.

“Aku nak cakap something kat kau ni. Hope you strong enough ok? Apa-apa pun aku kena cakap juga.”
Kata Fairuz kepadaku semasa kami menikmati makan tengah hari di kafe.
“Apa dia?”, tanyaku biasa dan tidak merasakan perkara yang ingin dinyatakan oleh Fairuz adalah sesuatu yang besar.
“Jason ondaway nak couple dengan Hui Wen.”

Aku yang tengah cuba mengasingkan sayur kangkung goreng ikan masin jauh sedikit dari nasi terhenti seketika. Mataku memandang Fairuz. Pandangan bagaimana kulemparkan kepadanya kusendiri tidak tahu. Aku tergamam. Mataku memandang tepat pada Fairuz.

“Kau kenal roomate aku kan, Wendy Lim? Dia kan minat juga dengan si Jason tu. So, semalam dia balik dengan muka muram. Aku tanyalah kenapa? Dia kata Jason dah ada orang lain iaitu Hui Wen.”, Fairuz menyambung bicara dan bercerita panjang.

Aku masih memandang Fairuz. Lidahku kelu. Aku...tak tahu nak buat apa sekarang. Selera makanku juga mati tatkala Fairuz menghabiskan ayat terakhirnya itu. Akhirnya, masing-masing membisu. Suasana kafe yang riuh kerana semakin ramai yang datang termasuklah seseorang yang aku tak nak tengok buat masa sekarang iaitu...Jason.

“Fairuz, aku nak balik dulu.”, itu saja ayat yang mampu kukatakan kepada Fairuz.

Sedikit pun lauk di pinggan tidak kujamah sedangkan semalam sudah berkira-kira esoknya hendak makan ikan keli goreng berlada dengan sayur kangkung goreng ikan masin.

“Jaja, besarnya dugaan yang Allah dugakan padaku ni. Dahlah aku suka dengan orang Kristian pula tu. Apa salah aku Jaja? Aku ni jahat sangat ke sampai Allah duga macam ni sekali?”,  aku menceritakan segalanya kepada Jaja yang baru pulang dari kelas.

Air mata di pipi di kesatku berulang kali menggunakan tisu. Jaja memelukku erat dan tidak putus-putus dia menyuruhku bersabar dan beristighfar.

“Mengucap Evaliana. Semuanya berlaku ada hikmahnya. Yakinlah apa jua yang Allah dugakan kepada makhlukNya pasti ada sesuatu yang lebih baik yang akan datang dalam diri kita.”, pujuk Jaja dengan nada lembut. Sikapnya yang sedikit keibuan menyebabkan aku bersikap lebih tenang berbanding tadi.
“Semuanya bermula kerana aku suka dengannya. Kemudian kami mula bermain chatting dan pandangan mata tu Jaja. Kenapa aku ditakdirkan akan berpandangan mata begitu sekali dengan dia? Takkan dia langsung tak rasa apa-apa selepas hal tu?”, aku mula merapu dan mempersoalkan bagaimana hal ini harus terjadi.

Air mata berterusan mengalir dan tiada tanda putus. Za yang baru pulang dari kelas terus menerpa padaku.

“Astaghfirullah al azim. Apa dah jadi ni Eva?”
“Jason...dia dah ada awek.”,  jawab Jaja ringkas.
“Masyallah Eva. Jangan sesekali tumpahkan air matamu dengan cinta murah macam ni. Mencintai seseorang manusia itu adalah racun yang akhirnya membuat dirimu parah seperti sekarang.”

Aku memandang Za tidak begitu mengerti apa yang dikatakannya.

“Apa maksudmu Za?”
“Eva, cabaran cinta yang Allah berikan kepada kita adalah untuk menguji tahap kecintaan kita kepadaNya. Kita kadang-kala leka dengan cinta manusia yang penuh kepalsuan dan akhirnya kita akan suka dengan orang yang tidak patut. Bak kata Pahrol Mohd Juoi dalam bukunya bertajuk *Tentang Cinta, frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya dan juga menyatakan barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, Allah menjemput kamu untuk mencintai-Nya!.”

Aku terdiam dan Jaja mula mengurut lembut belakang badanku dari atas hingga ke bawah. Mindaku mula berputar ligat mengenang kembali saat mataku bertentang mata dengannya. Subhanallah! Cantiknya ciptaanmu Ya Allah dengan kerana indahnya ciptaan itu aku terlalai hingga syaitan bersorak riang bila pembelajaran yang sepatutnya menjadi satu ibadah sudah kutinggalkan begitu saja kerana ia dipenuhi dengan rasa cinta yang sebenarnya perencah yang membawa kemudaratan kepada kesihatan hati. Ya, hatiku sudah hancur!.

Jaja dan Za berlalu pergi meninggalku sendirian. Aku masih termangu di atas katil dan meletakkan tangan kananku di atas dada kiri. ‘Ya Allah, sakitnya hatiku! Aku menderita Ya Allah.’ Tiba-tiba seakan satu suara hati yang tidak pernah aku cuba dengar selama ini berkata ‘Memanglah ia sakit sebab ia racun. Cintailah Allah, Eva. Sesungguhnya cintaNya hanyalah kemanisan dan kebahagiaan sehingga ke syurga.’
Tiba-tiba lamunanku mati apabila seseorang mengetuk daun pintu bilikku dan muncul Fairuz sambil membawa sebungkus polistrin yang kurasa lauk yang kutinggalkan di kafe tadi.

“Are you ok?”, tanya Fairuz dengan riak risau terpancar jelas di wajah mulusnya.
 
Aku tersenyum namun sisa air mata dapat di tangkap oleh Fairuz. Dia mengelus pipiku kemudian menggegam erat tanganku.

“Aku ok. Don’t worry.”
“Lupakan dia. Lagipun sebelum apa-apa semakin serius, baik kau lupakan dia. Memang betul kau cuma nak kawan dan cakap face to face dengan dia but, kita mesti elak dari sesuatu yang di panggil cinta terlarang itu berlaku.”

Aku mengangguk dan memang benar apa Fairuz cakap. Jaja dan Za masing-masing baru lepas mandi melontarkan pandangan kepadaku. Aku dapat merasakan mereka masih risau dengan keadaanku.
“Kalau macam tu, cepat makan. Aku nak tengok kau makan.”, Fairuz menggesaku makan dengan segera sebab dia sedia tahu aku belum makan sejak pagi tadi.
“Ok aku pi basuh tangan sekejap.”, kataku sedikit ceria. Aku mesti kuat dan aku akan cuba dengan seluruh kudratku untuk melupakan Jason Chew. Aku tahu aku mampu hadapi dugaan yang hebat ini.
6)

Air botol mineral 5.5 L Giant sudah habis hingga tiada setitik pun yang tinggal. Jadi aku mengambil keputusan untuk membelinya dari water station RO yang berada di kafetaria. Langkahku lemah saja kerana baru bangun dari tidur. Aku hanya berpakaian ringkas dan mengenakan sandal yang kubeli semasa keluar membeli-belah di Mahkota Parade, Melaka.

Jarak kafe yang hanya memakan masa 10 minit salah satu sebab aku rajin keluar dari bilik dari terus membuta bersama Jaja. Petang begini Za masih berada di surau *berusrah bersama rakan-rakannya. ‘Bagus betul si Za ni. Walaupun saiz tudungnya sama saja denganku, namun sikapnya tak ubah seperti budak sekolah agama. Aku patut join dia tadi di surau. Rugi betul.’, ngomelku sendirian.

Di Kolej Matrikulasi banyak kemudahan yang disediakan termasuklah basikal untuk beriadah sambil menikmati pemandangan di sekeliling kolej, gelanggang skuasy, gym dan macam-macam lagi. Aku terasa bersyukur dapat masuk ke sistem Matrikulasi walau keputusan SPM tidak begitu memberangsangkan. Pembelajaran juga menjadi sengit memandangkan kaum Cina sering mendahului kaum Melayu dari segi pencapaian Penilaian Nilai Gred (PNG) 4.00 walaupun mereka adalah kaum minoriti termasuk kaum India.

Kelibat rakan kuliahku, Farah bersama roomatenya, Munirah dapat kulihat dengan jelas di kafe. Mataku agak meliar melihat kafe tersebut dan...hatiku tiba-tiba tersentap. Aku pejam mata sekejap dan memandang ke arah lain. Kugagahkan kaki ini melangkah sambil hatiku tidak putus berzikir agar sedikit tenang.
Setelah siap membeli air dari water station RO, aku menuju ke arah Farah yang tidak habis-habis tersenyum. Aku tahu dia ingin bercerita sesuatu denganku.

“Kau nampak tak sebelah kanan tu. Cina hensem tu, Jason. Amboi, romantiknya.”, becok Farah bercerita manakala Munirah sekadar berdiam.

“Nampak.”, kataku sepatah dan seperti dipaksa saja membuahkan senyuman kepadanya.

Rasa sakit mula muncul kembali tapi hatiku segera memujuk. ‘Memang ia sakit sebab ia racun. Racun yang hampir hilang dari dalam hati.’

Selepas peristiwa sebulan yang lalu, aku sudah banyak berubah. Walau rasa frust tu masih ada namun semakin berkurang dari hari ke hari dan aku pasti ia akan lenyap sepenuhnya. Aku yakinkan dalam hati ini, aku tidak menyesal memilih Allah berbanding Jason. Hasilnya, aku lebih bahagia dan lebih fokus menjalani ibadah yang disyariatkan kepada umat Islam. Walaupun aksi romantik antara Jason dan Hui Wen berlaku selang satu meja dariku, aku tidak rasa sakit hati lagi dan ingin menangis. 

Kalau menangis sekalipun, hanyalah sakit kerana bisa itu dapat dikeluarkan. Ya, Allah inilah cabaran cinta yang paling besar hikmahnya. Aku yakin dengan janjimu Ya Allah wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Terima kasih atas segala dugaan yang Kau timpakan padaku sesungguhnya ia jalan terbaik untuk aku terus mengingati dan mencintaiMu dengan lebih mendalam. Terima kasih Ya Allah.
~THE END~
info:
·         fb: Facebook (sejenis laman sosial yang dilancarkan pada Februari 2004.)
·         Oh Ha Ni: watak cerita Playful Kiss(drama korea) yang di adaptasi dari sebuah manga Jepun, Itazura Na Kiss.
·         Sudoku: permainan berdasarkan logik juga dikenali sebagai Number Place di Amerika Syarikat.
·         Buku bertajuk Tentang Cinta: yang dikarang oleh Pahrol Mohd Juoi (Telaga Biru Sdn Bhd,Tentang Cinta,bab 16 Ubat Frust Cinta-m/s 145)
·         berusrah: Usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga. Maksud perkataan usrah dalam pengertian kita ialah kumpulan Afradul Muslimin (individu-individu muslim) yang beriman dengan agama ini, berusaha tolong menolong antara satu dengan yang lain untuk memahami dan menghayati Islam.

Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid.(Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami, dan lain-lain)

0 000 jejari fans: