30/03/2013

NAMAKU ADALAH JADE



PENULIS: LYNE (admin Jejari Ekskusif)
JENIS:CERPEN


Namaku adalah Jade dan berbangsa Tionghua. Aku tiada ma mahupun pa dan tidak kisah selagi aku bersama dengan Uncle Yin dan Eric. Aku tak mahu ingat bagaimana aku kehilangan ma tatkala polis menyerbu Rumah Pelacuran Uncle Chong. Aku tak mahu ingat sampai bila-bila.


Awan yang berarak dari tadi sehingga muncul awan hitam akhirnya menitiskan air hujan. Eric risau padaku apabila melihat aku sering termenung. Dia tidak mahu aku sedih mengingati kisah lama. Aku tahu itu kerana kami seperti adik-beradik walaupun dia melayan aku lebih dari itu.


“Jade, saya belikan awak ni”, kata Eric sambil menyerahkan sejambak bunga ros merah.
Aku memandang Eric. Pelik kenapa hari ini dia memberikan aku bunga. Kami bukannya menyambut apa-apa perayaan. Lagipun aku tidak suka pada bunga. Aku hanya suka pada sesuatu yang laju seperti motosikal.


“Kenapa bagi bunga?”, tanyaku serius. Eric pula kelihatan serba salah. Dia seperti hendak memberitahu sesuatu tetapi hampir 15 minit, satu  perkataan belum keluar dari bibir nipis itu. Sesekali dia menggarukan kepalanya.

“Eric?”, tanyaku sedikit geram. Sepatutnya aku dah bermula berlatih kickboxing. Eric membuang masa latihan aku saja!

“Buang saja kalau awak tak mahu”, kata lelaki yang kuanggap sebagai abang. Dia memandangku namun aku tidak faham maksud pandangannya dan aku malas cuba memahami. Aku perasan ada sebuah tong sampah dibelakangnya. Tanpa berlengah, aku membuang saja sejambak bunga tersebut ke dalam tong sampah. Bagiku, bunga itu tidak membawa apa-apa makna dan aku tidak suka di layan seperti seorang wanita!

#####################################


Jalan Tun Sambathan agak sesak pada pukul 6.00 petang itu. Aku yang menaiki kereta Waja curi bersama Eric mendiamkan diri. Sejak peristiwa tempoh hari, aku jarang bercakap dengan dia. Apabila berlatih menggunakan pistol atau ber ‘kickboxing’, aku meminta Uncle Yin mengajar dan bukan dia lagi menjadi guruku.


Mataku meliar melihat kenderaan yang memenuhi setiap pelosok jalan. Eric tidak habis-habis bercerita bagaimana dia berlawan dengan salah seorang gangster sehingga lelaki itu koma. Aku tidak berminat mendengar kerana bagiku itu cerita biasa. Aku pernah ber ‘kickboxing’ dengan tiga orang lelaki sekaligus sehingga mereka patah kaki tak ada pula aku heboh bercerita.


Tiba-tiba mataku terpandang deretan rumah dua tingkat di hadapan.  Itulah tempat tinggal aku dan ma satu ketika dulu. Kalau ma tidak melacur dan pa tidak terlibat dengan dadah, mesti sekarang kami hidup bahagia. Perasaan benciku terhadap pa dan ma harus di tolak tepi. Aku ada tugas yang perlu diselesaikan. Fifi...aku perlu mencari wanita keturunan Melayu tersebut atas arahan Uncle Yin. Ada kaitan dengan tugas terbaruku katanya.


Kami mengatur langkah ke sebuah rumah pelacuran yang terletak pada mula-mula deretan rumah tersebut. Aku masih kenal tempat ini. Inilah tempat aku bermain dengan adikku, Lee. Ya, aku ada adik! Aku baru ingat setelah menjejak kaki kemari. Aku baru teringat bagaimana sepanjang hari aku bagaikan gila mencari Lee di tempat biasa namun gagal.


Hendak bertanya pada ma, lelaki Cina berbadan buncit dan berseluar pendek tidak membenarkan aku masuk ke dalam bilik. Katanya ma sedang bekerja. Katanya lagi, aku akan bekerja seperti ma juga satu hari nanti sambil memegang bahuku. Walaupun aku tidak faham bicara lelaki berbadan buncit tersebut, aku pasti ia bukan perkara baik. Sekarang aku mengerti kata-kata lelaki sengkek itu.


Pendek cerita, aku ternampak adikku di tetak dan di bunuh sehingga darah memancut keluar membasahi dinding yang sekarang masih menjadi rumah pelacuran. Aku kaget dan tidak berbuat apa-apa dan cepat-cepat aku menyorok di balik tiang agar mereka yang terlibat tidak dapat melihatku. Badanku menggeletar dan bagai terhenti degupan jantungku serentak apabila Lee meraung kesakitan. Kesan darah itu masih berada di situ walaupun sudah 15 tahun lamanya. Ma berbohong padaku mengatakan Lee mati akibat kemalangan sedangkan aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Kebencianku pada ma makin bertambah. Aku tidak tahu kenapa dan aku tidak mahu tahu mengapa mereka membunuhnya.


Kaki kami semakin masuk ke dalam hotel sambil Eric membalas lambaian pelacur yang tengah memuncung mulut tidak ubah seperti ikan keloi kelaparan. Ada tangan nakal menjalar di lenganku dan Eric. Aku berkemeja petak berlengan pendek disertakan bersama baju-t hitam di bahagian dalam dan dipadankan bersama jeans pendek membuat mereka kurang mengecamku sebagai wanita. Eric bertanyakan pasal Fifi kepada seorang lelaki Cina tidak ubah perwatakan seperti lelaki yang pernah aku temui satu ketika dulu.

Lelaki itu menunjukkan jalan kepada kami sambil mengipas kipas sate dimukanya dan akhirnya tiba ke sebuah bilik yang agak samar cahaya lampunya. Aku melihat ada pintu terkatup rapat, ada daun pintu yang terlapang.

“Ini amoi Kedah mari. Kulit manyak cantik... kacukan Siam.”, kata lelaki itu mem’promote’ Fifi.
Aku memandang Eric memberi isyarat supaya dia menjalankan peranannya.
“Saya ambik ini amoi.”

“Ada dari Cina dan dari Hong Kong baru sampai ini pagi. Tak mahu tengok dulu ka?”, tanya lelaki itu kepadaku.

Aku sekadar menggeleng kepala walaupun Fifi kelihatan lebih berminat kepadaku berbanding Eric. Aku hanya buat muka selamba.

“After saya, dia pula guna ini amoi.”
“Itu macam ka? Kalau macam tu harga double...RM60. Nak service manyak baik punya tambah RM10. Mahu langgan berapa hali?”, kata lelaki itu sambil mengeluarkan kalkulator dan meletakkan pen di belakang telinganya. Lagaknya seperti tauke beras mengira untung dan rugi.

Aku memberi isyarat tiga jari bermakna tiga hari. Lelaki itu mengangguk kepala kemudian pantas jari-jemarinya mengira. Aku membuat muka serius kerana rimas rambut pendekku dibelai lembut oleh Fifi. Dia sungguh pandai menggoda. Aku tiada masa dengan perkara macam ini. Aku bukan lesbian mahupun pengkid. Aku tiada nafsu terhadap perempuan dan  mustahil kepada lelaki. Aku sudah bertekad ingin mengabdikan hidupku terhadap Geng Yin dan membalas jasa Uncle Yin yang menyelamatkan aku dari sarang maksiat.

Setelah wang not bertukar tangan, aku cepat-cepat melangkah pergi dan mendahului Fifi yang asyik berkepit dengan Eric. ‘Perempuan...’, getus hatiku. Aku memandu kereta curi itu hingga ke satu tempat kami turun dan tinggalkan kereta terbabit. Kami berjalan pula ke tempat kediaman Geng Yin yang tidak jauh dari tempat aku tingggalkan kenderaan terbabit.

####################################

Keesokan paginya barulah aku tahu tujuan Uncle Yin menyuruh kami melanggan Fifi selama tiga hari. Projek terbaru yang bernilai RM 1 juta yang di tawar kepada Uncle Yin agak besar risikonya. Katanya, aku calon sesuai melaksanakannya menggunakan alasan yang sejauh mungkin aku tolak selama ini iaitu aku adalah wanita.

“Kenapa semua orang anggap saya wanita?! Saya lelaki!”, kataku tegas kepada Uncle Yin. Ahli yang lain memandang sesama sendiri. Aku di kira berani meninggikan suara kepada seorang ketua.
“Kami tetap layan kamu sebagai lelaki tetapi hakikatnya kamu wanita. Jadi wanita bukannya teruk sangat. Kamu masih boleh buat lebih dari kami semua boleh buat.”, kata Uncle Yin.
Aku memikir bicaranya. Aku kurang faham. Apa yang dimaksudkannya?

Setelah menerima penjelasan panjang lebar serta sedikit nasihat dari Uncle Yin dan sokongan moral dari ahli Geng Yin, aku menerima hakikat aku seorang wanita. Fifi yang berada di kalangan kami terkejut mengetahui aku sebenarnya sama jantina dengannya. Ada sebab aku tidak mahu menjadi wanita. Aku tidak mahu jadi seperti ma.

Hasil tunjuk ajar dari Fifi aku belajar perkara asas menjadi wanita seperti cara berjalan. Semua ini sementara saja kerana demi tugas, aku sanggup menolak ke tepi perasan geli aku terhadap gincu, skirt pendek aras lutut dan berjalan lenggang. Semuanya terlalu keperempuanan. Eric pula tidak habis-habis mengacauku apabila aku berjalan lenggang. Ahli lain pun sama termasuk Uncle Yin bersiul apabila aku dipakaikan solekan. Terbakar hati melihat mereka mempersendaku. Aku yang baru mengangkat kaki tanda ingin memulakan pergaduhan segera di halang oleh Fifi.

“Tak boleh! Wanita tak buat perkara macam tu.”
“Ala, apa ni Uncle Yin?! Nak bunuh Dato’ pun kena belajar benda macam ini macam ka? Lecehlah!”, aku mengadu.

Lain yang aku harap, lain pula reaksi aku terima. Mereka beramai-ramai ketawa mendengar kata-kataku. ‘Siaplah korang aku kerjakan nanti’, kataku dalam hati sambil mengetap bibir. 

#####################################

Hari ketiga sesi pembelajaran aku dengan Fifi sudah tamat dan juga bermakna tugasku sebagai pembunuh upahan bermula. Tugas ini perlu kulaksana sebaik mungkin tanpa meninggalkan sebarang bukti menyabit aku sebagai suspek dalam kes pembunuhan. Setakat ini, empat projek berjaya dilaksanakan.

Jam tepat 8.45 malam. Aku sudah bersiap memakai dress hitam yang menyerlahkan kulit putih pucatku. Dress telah diubah suai supaya dapat di buka pada bahagian bawah. Aku memakai seluar jeans pendek di bahagian dalam supaya senang melarikan diri nanti.

Tugas kali ini sukar kerana aku perlu menyamar sebagai Lady Eleanor, orang kaya dari Sarawak. Sebelum ini aku tak perlu buat semua itu. Cukup sekadar menyelinap masuk ke dalam kediaman dan Eric membantuku membersihkan darah menggunakan bahan kimia pembersih ciptaan Geng kami sendiri. Ternyata berkesan dari mana-mana jenama pembersih yang terdapat di pasaran[promote pula].

Selain aku, ada tiga lagi pembunuh upahan dalam Geng Yin. Namun umur semakin tua menghalang mereka melakukan tugasan lasak. Kini tinggal aku seorang melakukan tugasan tersebut kerana Uncle Yin mengatakan tiada siapa yang layak termasuk Eric. Bukan senang menjadi pembunuh upahan. Mesti licik, bertenaga dan bijak merancang. Pandai menyamar tak membantu apa-apa kalau tidak bijak menyelesaikan masalah dengan cepat apabila keadaan dalam bahaya.

Jam menunjukkan 9.00 malam. Sudah tiba masa dinantikan dan semuanya sudah di rancang. Aku mula melangkah masuk ke dalam hotel mewah yang sedang menganjur sebuah majlis. Aku sudah sedia maklum. Walaupun nampak senang, tapi susah untuk meneka apa yang bakal berlaku. Bukan sedikit pengawal peribadi kerana tetamu juga membawa pengawal masing-masing.

Aku cuba fokus kembali terhadap tugasku. Tiba-tiba mataku terhenti ke arah seorang lelaki Cina separuh botak tegap memakai tuksedo hitam dan berumur dalam lingkungan 40-an. Aku mencari sesuatu dari dalam handbeg yang diberikan oleh Uncle Yin iaitu gambar kecil lelaki Cina yang aku ditugaskan menamatkan riwayatnya. Jika tersalah orang, Geng kami terpaksa membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa. Itu prinsip Geng Yin kerana kami hanya melaksana perniagaan bukan membunuh.

Aku mencari kedudukan sesuai dan semakin hampir dengan mangsa namun terlalu ramai tetamu hadir membatalkan niat untuk aku semakin hampir. Lagipun, lebih kurang enam pengawal peribadi mengeliilingi dia sekeluarga dan aku sudah memandang ke sekeliling hotel ada banyak pengawal keselamatan berkawal. Aku menelefon Eric dan memberitahu, “Tukar kepada Plan B”.

Melalui info yang diperolehi setelah di siasat oleh Eric tentang lelaki separuh botak itu, dia merupakan kaki perempuan. Aku meliarkan mata sambil memikirkan bagaimana aku memulakan plan B. Fokus aku terganggu seketika apabila melihat tingkah laku seorang lelaki mengambil salad kentang sambil matanya memandang ke kiri ke kanan. Terlalu berhati-hati dan mencurigakan. Aku tidak pasti siapa lelaki itu dan aku hanya ada masa terhad untuk menjalankan projek RM1 juta, jadi aku membiarkan lelaki misteri tersebut.

Aku cuba mendekati Dato’ separuh botak itu walaupun berisiko tinggi. Lelaki tua miang keladi yang bernama Jack berpelukan dengan beberapa orang gadis seksi. Anaknya, Anne hanya menjeling melihat perlakuan bapanya itu. Aku memandang Jack dan cuba menarik perhatiannya. Bukan senang memandangkan yang mengelilingi dirinya gadis jelita yang lebih hebat dariku. Tapi aku tidak mahu mengaku kalah sebelum mencuba.

Aku terfikir sesuatu kemudian menarik tangan salah seorang tetamu di situ. Tarian salsa yang dipelajari dari Fifi ada gunanya dan kebetulan lelaki yang kujadikan umpan pandai menari. Pendek cerita semuanya berjalan lancar kerana Dato’ Jack mula mendekati diriku.

“You’re beautiful. What’s your name?”, sambil jarinya menyentuh mukaku lembut dan aku berpura-pura suka dengan perlakuannya. 

Peraturan ke-2 dalam Fifi’s Rule: Anggaplah anda melayan lelaki tampan yang turun dari kayangan walaupun sekerepot mana lelaki yang berada di hadapan anda.

“My name is Elaenor...Lady Elaenor. I’m from Sarawak.”, kataku sambil bermain jari di bahagian dadanya. Geli?aku terpaksa.
“Divorce or still married?”
“Still married but my husband not ‘treat’ me very well”, sambil mengerling supaya dia faham maksud tersiratku.
“That’s interesting. I’ll treat you well, my dear.”, katanya sambil tersenyum menggoda.

Dia menarikku ke satu tempat dan menghalau perempuan lain yang tertenggek di atas kerusi besarnya. Ikan besar sudah makan umpannya.

“When? I can’t wait anymore.”, kataku kemudian bibirku dikecup-kecup untuk menggodanya. Dia hanya tersenyum sambil memainkan jarinya di bahagian dalam skrit yang di pakai olehku. Aku risau takut jarinya terpegang pistol atau senjata yang aku sorok di bahagian dalam baju.
“Ok. I’ll do anything you want, dear.”, katanya sambil mengelus lembut pipiku. 

Kami bangun sambil pengawal peribadi mengelilingi kami untuk mengawas keselamatan. Ada mata cemburu melihat aku berjaya mendampingi lelaki kaya itu. Tengoklah buat kali terakhir sebab selepas ini, mereka tak dapat melihatnya lagi. Beberapa minit kemudian, kami sampai ke sebuah bilik hotel 1-2-3. Sesekali aku menjeling ke arah pengawal peribadi tu melihat berapa bilangan mereka semua. Aku melihat juga kedudukan kamera litar tertutup dan aku perasan ada tiga semuanya. Mungkin ada lebih dari itu.

Lelaki separuh botak itu sudah membuka baju manakala aku masih melihat hiasan bunga mawar yang di tabur di atas katil. Bilik yang dipenuhi dengan aroma kayu cengkih dan disinari lampu malap menjadikan suasana romantis dan mengghairahkan.  Lelaki miang itu mungkin sedang ghairah tapi bukan aku. Seperti Eric pernah katakan padaku satu masa dulu, hati aku lebih keras dari berlian. Aku tak mudah cair apabila melibatkan permainan nafsu dan perasaan.

Aku melakukan tarian mengghairahkan yang pernah aku lihat sewaktu aku kecil. Tarian ciptaan ma sendiri. Ma salah seorang penari hebat bagiku. Sebelum ma jadi pelacur, ma bekerja di kelab malam sebagai GRO. Akibat terpaksa kerana di buru oleh ah long, ma membawa aku lari dan akhirnya kami tinggal berdekatan dengan Jalan Tun Sambathan. Tapi hari ini, aku bukan seorang pelacur seperti ma. Aku seorang pembunuh upahan.

Ketika lelaki itu leka menyaksi tarianku,  aku terus menerkamnya ibarat harimau kelaparan. Bantal yang berada di sisi aku tutup kemas pada mulutnya. Dia menjerit dan cuba menendang aku. Aku menahan sakit apabila perutku di tendang kuat. Dengan pantas dan tanpa belas kasihan, aku menembak dua kali pada dadanya dari jarak dekat. Jeritan halus menahan kesakitan aku tidak peduli. Hampir 10 minit, baru aku mengalihkan bantal. Sarung bantal hotel yang berwarna kuning keemasan dipenuhi darah merah pekat.

Aku melihat jam. Hampir 9.40 malam. Aku perlu keluar sebelum 10.00 malam. Sarung bantal yang ada darah aku sembur dengan bahan pembersih Geng Yin. Hilang tapi berbekas sebesar peta Benua Eropah. Aku memandang ke arah mayat di atas katil dan tiada di situ! Aku mula rasa cemas. Peluh merencik walau bilik berhawa dingin. Baru aku hendak melangkah keluar melalui tingkap, bahu aku di pegang kuat.

“Nak pergi mana?”, tanya seorang lelaki suara garau. Aku menoleh. Rupanya suara pengawal peribadi yang menjaga di hadapan bilik hotel 1-2-3.

Kedua-dua pengawal peribadi berada di sini tetapi di mana Dato’ Jack? Aku tersenyum sinis pada mereka dan perasan Dato’ Jack tersandar di pintu almari. Sial! Sempat lagi meminta bantuan walaupun dah nyawa-nyawa ikan? Aku membuka ikatan skirt di bawah dan terus menarik tangan salah seorang pengawal peribadi tersebut. Dengan pantas, aku merampas pistol di tangannya dan menendang sehingga tercampak ke lantai. Di masa yang sama, kaki kananku menendang padu pada muka seorang lagi pengawal peribadi. Pergerakan mereka lemah memudah aku membelasah mereka habis-habisan. Nama saja pengawal peribadi tapi tak pandai berlawan. Mereka terlalu mengharapkan pistol.

Tiba-tiba telingaku dapat mendengar derapan kaki berlari dan aku pasti itu pengawal keselamatan. Aku cepat-cepat keluar melalui tingkap dan menelefon Eric dan memberitahu aku dalam bahaya. Aku bergerak perlahan-lahan sepanjang birai tingkap dan membalingkan kasut tumit tinggi ke atas bumbung kereta Wira hitam yang merupakan kereta Eric. Cepat-cepat Eric memandu ke tempat lebih sesuai dan dengan tekad hati, aku melompat ke atas bumbung kereta. Aku menyuruh Eric memandu terus dan aku perlahan-lahan masuk ke dalam kereta walaupun aku mungkin jatuh dan terus mati.

Sekumpulan pengawal tak dapat mengejar kami lagi sebab Eric pakar dalam hal memandu. Dia diibaratkan seperti raja memandu. Aku tersenyum tawar manakala Eric bersorak gembira. RM1 juta sudah menjadi habuan kami.

#####################################

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Peribahasa Melayu itu ada benarnya dan itu terjadi pada diriku. Nama aku naik sebagai suspek kepada kes pembunuhan Dato’ Jack. Uncle Yin marah tak habis-habis padaku kerana aku bersikap cuai kali ini. Aku mengaku, aku kurang menumpukan perhatian kerana aku tak sangka Dato’ Jack sempat meminta bantuan walau sudah di tembak bertalu-talu. Aku menampar dahiku. Semuanya seperti berakhir begini saja walaupun Eric beberapa kali berjanji dia akan menolongku walau apa pun terjadi. Dia berjanji, polis tak akan berjaya menangkap aku.

“Tak perlu lindungi saya Eric. Memang betul saya terlibat”, kataku pada Eric. Aku jenis berani buat, berani tanggung. Aku bukan seorang pengecut.
“Tak perlu begitu. Saya sayang kamu Jade. Saya tak nak apa-apa terjadi pada kamu. Lagipun, aku pun terlibat sama”, kata Eric dan buat pertama kali dia memegang tanganku.

Aku tidak rasa apa-apa. Aku rasa biasa saja pegangan tersebut. Walaupun dingin tangan Eric dapat kurasai. Aku memandang ke matanya. Aku dapat merasai sesuatu di dalam dada tapi... cepat-cepat aku mengalih pandangan. Aku memandang lorong yang sepi. Tiada apa di sana dan sekali-sekala beg plastik berterbangan mengikut rentak udara bertiup.

“Aku mencintaimu Jade”, ucap Eric.  
Aku masih memandang lorong. Kata-katanya hanya tinggal kata-kata. Aku tidak merasakan ia satu ucapan istimewa.
“Aku hanya anggap kamu sebagai abang saja”, kataku kemudian bangun dan masuk ke dalam bilikku yang berselerak seperti tongkang pecah dan berbau busuk bangkai. Aku sudah sebati dengan bau tersebut.

Baru saja hendak melelap mata walau hidung terasa sakit dengan bau busuk menyucuk-nyucuk, aku terdengar jeritan Eric.

“Cepat keluar! Polis datang!”

Aku bingkas bangun dan Eric lantas menarik tanganku. Kami berlari keluar dan aku melihat semua orang sudah lari entah ke mana. ‘Patutlah bunyi bising tadi.’, getus hatiku.

Kami curi saja sebuah motosikal yang berada di hadapan restoran. Terasa seronok pula lari-lari macam ni. Aku memandang ke belakang kerana mendengar jeritan dan maki-hamun seorang lelaki India meminta kami mengembalikan motosikalnya. Aku melihat juga kalau-kalau polis sempat mengejar kami namun tiada. Aku anggap pelarian kami berjaya.

#####################################

Dua hari kami menyorok di sebuah ladang getah. Nyamuk? Hampir semua bahagian tubuh mereka singgah sambil meninggalkan hadiah iaitu gatal tak sudah-sudah sehingga tergaru-garu dibuatnya. Eric pula demam manakala aku rasa terseksa berada di sini. Rasanya lebih baik aku berada di penjara yang di beri makanan dan minuman. Aku baru merasai lima kali masuk keluar penjara kerana terlibat dengan rompakan dan perjudian haram. Jadi rekod aku masih bersih bagi kes pembunuhan. Aku bersandar di salah satu batang pokok getah dan begitu juga dengan Eric. 

Aku meliarkan mata dan menajamkan telinga untuk menghidu kehadiran binatang berbisa atau manusia. Bila difikirkan balik, bertuah aku menjadi rakyat Malaysia. Undang-undangnya masih longgar berbanding negara lain. Kalau di Penjara Sacramento, California pegawai polis di sana akan menahan banduan yang ada geng di sebuah bilik gelap supaya mereka mengeluarkan apa yang mereka telan iaitu ‘kite’ ( maklumat organisasi geng). Satu saja caranya iaitu membuang air besar. Kalau aku tak pasti sama ada aku sanggup menelan ‘kite’ atau tak.

Perut aku berkeroncong dan pedih. Bayangkanlah dua hari tanpa makanan dan minum air dari embun pada permukaan daun atau air hujan. Aku tak kisah tak makan tapi aku terpaksa kisah sebab Eric. Demamnya semakin teruk. Keadaan belum selamat untuk penjenayah seperti kami. Fikiranku teringat pada Uncle Yin dan ahli yang lain. Di mana mereka? Aku cuba menghubungi mereka melalui handset namun gagal. Itu boleh bermakna dua perkara; mereka dah mati atau mereka dalam tahanan polis.

Aku memberitahu Eric bahawa aku hendak mencari makanan dan membeli ubat. Eric enggan melepaskan aku pergi dan aku berjanji akan balik sebelum senja melabuhkan tirai malam. Aku memapah Eric ke sebuah pondok usang dan berpesan padanya supaya berhati-hati. Pisau yang sempat kuambil sebelum melarikan diri, aku serahkan kepada Eric.

Aku mengatur langkah penuh berhati-hati. Jantungku berdegup laju dan nafasku juga kencang. Aku takut terjumpa ular berbanding berjumpa manusia. Aku meliarkan mata sekeliling. Hanya satu senjata saja di tanganku iaitu pistol Old Colt pemberian Uncle Yin.

Tiada sesiapa dalam pandanganku dan tiba-tiba aku dapat menangkap suara nyaring berbual. Aku cepat-cepat menyorok di belakang pokok getah. Ada tiga orang budak berbasikal menuju entah ke mana. Aku memandang ke arah dari mana mereka muncul. Kemungkinan budak terbabit dari jalan besar.

Cepat-cepat aku mengatur langkah dan terus berlari walaupun belum tentu aku akan menjumpai jalan besar. Sakit kaki kutahan dan aku tetap mengagahi tubuhku berlari sejauh yang mungkin. Akhirnya tiba juga aku jalan besar. Nafasku tercuap-cuap. Aku keletihan dan kepalaku pening. Aku pasti wajahku kali ini. Pucat dan tak bermaya. Kali terakhir aku ingat aku ternampak lembaga putih dan kelamaan pandanganku mulai kabur dan semakin kabur kemudiannya gelap.

Terasa air dingin di percik ke mukaku. Kemudian aku terasa lagi air dingin tersebut. Perlahan-lahan aku membuka mata namun masih kabur. Aku tak pasti aku di mana tapi aku mendengar nyanyian atau bacaan dalam bahasa yang aku tak faham. Bukan dalam bahasa Kantonis mahupun Mandarin. Semakin aku cuba membuka mata semakin sakit kepala kurasa.

 Ayat yang di baca itu bagaikan masuk ke dalam saluran darahku dan dapat rasa ketenangan tak kala ayat itu sampai di jantung. Aku rasa semakin tenang dan kemudiannya aku terdengar satu suara. Suara lelaki keturunan Melayu.

“Cik dah sedar?”, pertanyaannya tak kujawab. Kini aku dalam membuka mata sepenuhnya namun aku terkejut. Aku mengundur ke belakang sedikit walaupun lelaki itu berkali-kali menyuruhku jangan takut. 

“Saya kat mana?”, tanyaku sambil memandang pelik pakaian yang di pakai oleh lelaki muda terbabit. Ada setandan pisang dan air botol mineral disisinya.Wajahnya pula jernih dan setenang air di lautan.
“Cik dekat tepi surau sekarang.”, katanya sambil tersenyum.

Aku menyentuh ke belakang badan untuk mencari pistol yang aku sorok di celah cangkuk coli. Nasib baik masih ada! Aku memandang ke arah tangga surau.Kebetulan ada seorang budak lelaki hendak keluar dan segera aku memautnya ke belakang. Aku mengacukan pistol ke kepalanya. Aku berani buat begitu kerana tiada orang lalu lalang di tepi jalan.

“Aku nak barang di tepi kau tu!”, arahku padanya.

Dia ketakutan. Terkejut dengan apa yang berlaku di depan mata. Cepat-cepat dia menyerahkan setandan pisang dan botol mineral itu. Entah kenapa aku merasa kesian sedangkan sebelum ini aku tak pernah merasa kesian melihat mangsaku dalam ketakutan. Aku melepaskan pautan dan menyuruh mereka tidak menghubungi polis.

Aku masih mengacukan pistol kepadanya dan entah mengapa, ringan saja tanganku menyerahkan dua biji pisang kepadanya. Kemudian, aku terus lari tanpa memandang belakang lagi. Aku perlu cepat kerana hari hampir senja.

##################################### 

Masuk hari ketiga menjadi penjenayah dikehendaki polis. Semalam, aku hanya makan pisang dan minum sedikit air dari botol mineral yang aku curi. Selebihnya, aku biarkan Eric minum habis. Aku memandang Eric dan dia...nampak lebih sihat sedangkan tak makan ubat pun. Emm...bukan sebab dia dah makan semalam. Tak kisahlah, yang penting sekarang kami perlu cari Uncle Yin dan Geng Yin. Lagipun semalam aku tidak nampak kereta polis meronda atau sekatan jalan raya. 

“Awal bangun?”, kata Eric yang baru tersedar dari tidur. 

Aku hanya tersenyum kemudian mula termenung. Eric mula bertanya di mana aku mendapat air botol mineral itu. Aku memandang pelik kepadanya. 

“Benda macam tu pun nak tanya. Kitakan memang keturunan pencuri, mestilah aku curi saja.”, jawabku selamba sambil menghisap rokok yang aku terjumpa dekat dengan pondok. Entah siapa begitu baik meninggalkan sebatang rokok dan mancis. Setelah diam seketika, aku memulakan bicara.

“Kenapa kau tanya macam tu?”
“Entahlah...aku rasa sihat lepas minum air ni.”

Aku memandang Eric. Agak menarik mendengar kata-katanya. Aku merampas botol mineral yang berada di pegangan Eric.

“Ala...air botol Bleu je. Bukan apa pun.”

Kemudian kami masing-masing berdiam diri. Tak tahu hendak berkata apa. Duduk kat ladang getah ni bukan boleh buat apa pun. Sekejap-sekejap lari bila ada orang datang menoreh.

Tiba-tiba aku teringat lelaki muda berwajah jernih itu. Ada sesuatu menarik pada pandanganku. Aku bukan jatuh cinta tapi ada sesuatu bagaikan melembutkan hatiku yang keras ini. Ayat yang aku terdengar dari dalam surau semalam, sememangnya mendamaikan. Aku ada bertanya pada Eric pasal agama tapi kami berdua sedia maklum, ahli Geng Yin tidak akan menganuti apa-apa agama seperti Islam atau Kristian.

“Aku keluar sekejap dan jangan ikut aku. Eric, jaga diri kau baik-baik.”

Eric mengangguk kepala dan patuh dengan arahanku. Lagipun katanya dia masih tidak larat untuk berjalan. Rasa sakit dikakiku berbisa setiap kali aku melangkah. Sesampai saja di jalan besar, aku terus menyorok senjata. Aku rasa aku perlu berjumpa dengan lelaki berwajah jernih itu.

Aku berjalan di tepi jalan walau ada mata memandangku kerana wajahku comot dan pakaianku sedikit koyak kerana terkena dahan apabila berlari. Badanku bagai di tolak oleh angin apabila ada sebuah lori pasir melalui sebelahku. Sakit kaki semakin menyucuk seperti tusukan jarum peniti namun kutahan. Aku berhenti berjalan sekali-sekala apabila makin berat kaki untuk melangkah. Aku menuju ke sebuah warung kopi dan bertanya di mana letaknya surau. Mereka membuat muka pelik apabila melihat orang Cina seperti aku bertanyakan soalan sedemikian.

Aku meneruskan langkah manakala fikiranku memikirkan tentang apa yang aku lakukan selama ini sebagai seorang manusia. Dari kecil aku di latih sebagai seorang pembunuh upahan. Semasa kanak-kanak seusiaku bermain buaian, aku hanya memandang dari jauh saja. Hendak bermain, Uncle Yin tidak bagi. Jadi, apa menjadi hiburanku masa itu adalah pergaduhan antara ahli geng tak pun bermain siapa dapat mencuri kuih pau paling banyak.

Tidak terkira berapa ramai menjadi mangsa kecurian atau pembunuhan yang dilakukan oleh tanganku ini. Terbaru ialah Dato’ Jack. Baru aku tersedar sesuatu, apa reaksi mereka melihat orang kesayangan mati? Sedangkan aku melihat kematian adik di depan mata, aku menggeletar seluruh tubuh. 

Aku berjalan lagi kali ini langkahku semakin ringan. Sekejap lagi rasa sakit akan datang kembali. Ingatanku mula tergambar wajah mangsa yang pernah kubunuh. Ada ternganga sambil mata terbeliak, ada juga tidak habis merayu padaku dan sanggup menyerahkan wang sebanyak mana aku mahu supaya aku tidak membunuhnya dan ada juga melawan menyebabkan aku terpaksa mematahkan tulang-temulang mereka terlebih dahulu. Tiba-tiba perasaan bersalah menyelinap di dalam jiwa.

Aku memandang ke hadapan kemudian tersenyum. Sampai juga aku ke surau di mana aku di beri bantuan oleh lelaki yang tak pernah aku kenali. Aku pergi ke depan surau dan beberapa minit aku rasa bosan menunggu kehadiran lelaki tersebut. Bosan juga menjawab setiap pertanyaan orang peramah yang bertanyakan tujuan aku ke mari dan siapa gerangan yang ingin kujumpa.

Baru saja melangkah pergi tiba-tiba aku terdengar bunyi lori memberhenti dengan mengejut dan aku memandang ke belakang. Itu lelaki berwajah jernih itu yang hampir di langgar oleh lori!. Tanpa berfikir panjang, automatik kakiku berlari kemudian memeluknya. Kami kemudiannya bergolek ke kiri. Tiba-tiba aku melihat sebuah kereta terbang laju ke arah kami dan aku segera menolak badan lelaki Melayu berkenaan.

Aku berjaya menyelamatkan dia tapi...tanganku yang sering melakukan dosa begitu juga kaki yang pernah aku gunakan untuk memijak dan menendang orang bersalah di gilis oleh kereta laju tersebut. Darah melumuri badanku dan aku cuba mengangkat tangan namun terasa berat dan pedih. Aku memejamkan mata dan aku terasa kebas seperti tiada mempunyai tangan.

Tiba-tiba aku teringat bagaimana aku mencuri barang dari seorang lelaki kudung tangan. Aku ingat lagi aku mengejek sambil ketawa bersama Eric apabila melihat lelaki itu bersusah payah ingin menangkap kami. Terasa air hangat mengalir di pipi. Aku kesal dengan kesalahan aku selama ini. Aku kesal sangat!

Pandanganku semakin kabur dan semakin berat bagaikan ada batu besar menindih badanku supaya sama rata dengan permukaan bumi. Kepalaku terasa digonyoh dan dihentak-hentak oleh tangan gergasi. Pandanganku kemudiannya menjadi kelam walhal aku membuka mata. Hanya telinga masih mendengar bicara.Tiba-tiba aku terdengar suara menyuruhku berbuat sesuatu.

“Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah.”

 Aku mengikut kata-kata lelaki tersebut dan lancar saja lidahku membaca sedangkan aku bukan beragama Islam. Menitis air mataku tatkala menyebut nama Allah s.w.t dan juga RasulNya. Dalam keadaan gelap mengikut pandanganku, tiba-tiba muncul cahaya terang. Cahaya itu semakin lama semakin terang seperti ada pintu yang sedang terbuka. Aku tersenyum dan perlahan-lahan suara yang aku dengar makin lama makin sayup dan terus aku tidak mendengar lagi.

 Namun aku terfikir, adakah Allah dapat membuka pintu kemaafan dan mengampuni dosaku walaupun aku bukan beragama Islam tapi sempat mengucap tatkala ajal hampir tiba?

-TAMAT-



0 000 jejari fans: